Terima kasih kerana melayari Portal Rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Portal ini dalam tempoh pengujian. Portal ini mungkin akan memaparkan maklumat yang kurang tepat sepanjang tempoh ini, sebarang pertanyaan sila emelkan kepada ukk@kpwkm.gov.my. Sekian, terima kasih.

Soalan Lazim

Bagaimana kami boleh membantu?
Adakah terdapat bayaran yang perlu dibuat semasa memfailkan Borang 1?

Setiap pemfailan Borang 1 dikenakan bayaran RM30.00.

Apakah tindakan TAGS apabila menerima Borang 1?

         i.        TAGS  akan memeteraikan Borang 1 dan akan meletakkan tarikh serta menandatangani Borang 1;

                 ii.        Dua (2) salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada pengadu. Satu (1) salinan untuk simpanan pengadu dan satu (1) salinan lagi untuk pengadu serahkan kepada responden; dan

                iii.        Dua (2) salinan Borang 1 akan disimpan oleh TAGS.

Apakah yang perlu dilakukan oleh pengadu selepas memfailkan Borang 1?

Pihak pengadu hendaklah menyerahkan Borang 1 kepada responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh pengadu menerima Borang 1 yang dimeteraikan, melalui kaedah berikut:

                  i.        secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini, antara lain, adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan; atau

                 ii.        melalui Pos Berdaftar Akuan Terima yang dialamatkan kepada alamat responden. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah kad AR yang dikembalikan; atau

                iii.        menampal Borang 1 pada bahagian utama di alamat terakhir responden yang diketahui. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar yang jelas menunjukkan dokumen yang ditampal dan premis responden.

Apakah yang perlu dilakukan jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden?

Jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden, pengadu hendaklah hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran dan memaklumkan kepada panel Tribunal berkaitan perkara ini semasa sesi pendengaran untuk panel Tribunal membuat perintah yang sewajarnya.

Adakah responden ada hak untuk membela diri?

Ya. Responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan Borang 1 hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan melalui Borang 2 dalam empat (4) salinan di TAGS berserta fi pemfailan sebanyak RM10.00.

Apakah proses seterusnya apabila Borang 2 difailkan?

                  i.        TAGS akan memeteraikan Borang 2  dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 2.

                 ii.        Satu (1) salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada responden;

                iii.        Satu (1) salinan Borang 2 akan diserahkan kepada pengadu oleh TAGS; dan

                iv.        Dua (2) salinan Borang 2 akan disimpan oleh TAGS.

Bagaimanakah pendengaran di hadapan panel Tribunal dibuat?

Setelah TAGS mengeluarkan Notis Pendengaran melalui Borang 3, pihak-pihak hendaklah hadir di hadapan panel Tribunal pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk pendengaran. Pihak-pihak dibenarkan untuk mengemukakan apa-apa bukti atau memanggil mana-mana saksi bagi menyokong aduan dan pembelaan masing-masing. Pendengaran aduan gangguan seksual akan didengar di hadapan 3 anggota panel Tribunal yang akan diketuai oleh seorang Pengerusi dan dibuat secara tertutup.

Bolehkah pihak-pihak diwakili peguambela?

Tidak boleh kecuali apabila pada pandangan panel Tribunal terdapat isu undang-undang yang rumit.

Bolehkah pihak-pihak membuat rundingan penyelesaian?

Boleh dengan syarat dipersetujui kedua-dua pihak dan penyelesaian rundingan akan direkodkan di hadapan panel Tribunal (Borang 7). 

Adakah orang lain boleh hadir untuk mewakili pengadu / responden semasa pendengaran?

Tidak boleh, kecuali bagi orang yang belum mencapai umur 18 tahun atau orang yang tidak berkeupayaan boleh diwakili oleh sahabat wakilnya atau penjaga ad litemnya. 

ATAS
Accessbility Option